Monday, January 25, 2010

Usaha terancang Zionis untuk roboh al-Aqsa


Bismillahirrahmanirrahim.

MENGIKUT sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud 'Masjid Paling Jauh', terletak di Baitulmaqdis atau 'Jerusalem' bagi orang Yahudi.

Masjid itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis.

Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj.

‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis.

Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam. Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran.

Masjid al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya.

Ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah. Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.

Masjid itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M), namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M.

Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada 1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula yang kekal sehingga hari ini.

Ketika tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan, mimbar, menara dan struktur dalaman.

Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam, Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa Palestin.

Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu, Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di selatan dan baratnya.

Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong berhampiran bahagian barat masjid pada 1984.

Ketika memulakan projek penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis).

Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi.

Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya akan rosak dek kerja penggalian itu.

Malah, apakah manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi agama.

Pada Februari 2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba memusnahkan asas masjid.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel.

Dalam laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008, sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah Masjid al-Aqsa.

Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis.

Mereka menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Akhbar Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di kawasan yang disebut.

Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam.

Mohammad Abu Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel.

Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam asas Masjid al-Aqsa.

Dalam laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi.

Yayasan itu berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi, lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.” Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah, pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, termasuk di lorong Al-Sharif.

Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi yang diduduki Israel pada 1967.

Ia juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi.

Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat.

Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai Istana Umayyad.

Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke kawasan bawah tanah masjid berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam masjid.

Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat.

Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam.

Amaran itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA), Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan Israel di bawahnya.

Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan masjid.

“Israel perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan kawasan penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan.

Ulasannya berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah jalan Wadi Hilwah.

Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi, selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50 pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam bersolat.

Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa meter dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian berterusan Israel.

Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di mana penggalian bertumpu.

Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada 2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera.

JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein.

Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di kawasan terbabit.

Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002; “Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa akibat runtuhan dinding masjid.”

Adakah umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa runtuh begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa diyahudikan? Inikah petanda akhir zaman? Itulah antara persoalannya.

Sumber : Berita Harian

Wednesday, January 20, 2010

Surat atau SMS Berantai

Soalan:

APAKAH hukum mempercayai surat atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berantai bahawa sesiapa yang sudah membaca tetapi tidak menyebarkannya akan ditimpa musibah besar? Kandungan mesej dalam surat dan SMS itu turut memberitahu tarikh berlakunya kiamat.

Jawapan

WASIAT dengan segala isi kandungnya dalam surat atau SMS itu tidak ada erti dan nilainya sama sekali dalam perspektif agama. Ini disebabkan kesempurnaan Islam sudah dinyatakan oleh Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat ke-5 yang bermaksud:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Oleh kerana Islam sudah disempurnakan Allah SWT maka kita tidak memerlukan lagi keterangan yang diwasiatkan oleh sesiapa lagi. Apabila kita menerimanya daripada golongan seperti ini, bererti kita turut meragui kesempurnaan Islam.

Wasiat ataupun SMS berantai ini juga sebenarnya mengandungi banyak tanda kepalsuan. Pertama, sumber awalnya tidak diketahui, apakah benar penyampainya yang hanya dinamakan sebagai Syeikh Ahmad itu benar-benar wujud?

Kedua, sebab penghantar wasiat itu sudah mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai yang tidak mahu menyebarkannya bahawa mereka akan ditimpa musibah. Hal ini tidak akan dikatakan oleh seseorang manusia yang normal fikirannya apatah lagi seorang yang percaya kepada al-Quran dan hadis.

Tiada satu pun ayat suci al-Quran yang memerintahkan agar ditulis dan disebarkan untuk mengelakkan sesuatu malapetaka atau bencana. Begitu juga tiada perintah terhadap yang membaca kitab hadis untuk menjalankan kerja itu.

Jika al-Quran dan sunnah Nabi pun tidak memerintahkan begitu, maka apatah lagi wasiat yang bersifat khurafat yang tidak jelas sumbernya ini.

Keraguan berikutnya dalam surat itu diterangkan bahawa seseorang yang sudah menyebarkan warkah Syeikh Ahmad itu mendapat rezeki yang melimpah-ruah, manakala sesetengah yang lain beroleh jawatan tinggi dalam masyarakat. Semua itu adalah khurafat dan penyesatan terhadap umat Islam dari jalan yang benar dan terpesong daripada mengikuti sunnah Rasulullah.

Ini disebabkan dalam Islam, Allah SWT menetapkan sesuatu itu berlaku kerana sebab musabab yang tertentu mengikut aturannya sedangkan bersandar kepada khayalan dan khurafat seperti itu adalah usaha menyesatkan dan menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenar.

Seterusnya, jangkaan tarikh kiamat yang sering kali disebut dalam kandungan warkah ini juga bukti satu lagi pembohongan yang ketara kerana tarikh tepatnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Malah Allah SWT sudah menjelaskan dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat ke- 187 yang bermaksud:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah SWT, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."


Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan ayat di atas, walaupun Nabi SAW yang dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan dan mukjizat serta menjadi rasul terakhir, namun baginda sendiri tidak mengetahui tarikh kiamat yang sebenarnya.

Justeru, kita bertanggungjawab menjaga kaum Muslimin agar tidak mempercayai perkara khurafat seperti surat dan SMS berantai ini dengan anggapan bahawa mereka yang menyebarkannya akan mendapat syafaat Nabi SAW.

Orang yang akan mendapat syafaat Nabi adalah mereka yang beriman kepada Allah SWT dengan cara yang betul dan ikhlas, bukannya kalangan yang meyakini perkara syirik seperti yang ditetapkan dalam kandungan mesej surat atau SMS palsu itu. Sabda Nabi SAW, maksudnya: "Orang yang paling berbahagia yang mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah seseorang yang mengikrarkan kalimah 'Lailahailallah' dengan perasaan ikhlas dari dalam hatinya". Riwayat al-Bukhari.

Semoga Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya menjadikan kita manusia yang memahami agama mereka dan terselamat dari mempercayai pelbagai perkara khurafat, khayalan dan kebatilan.
Berita Harian

Tuesday, January 19, 2010

Ummu Kulsum berhijrah ke Madinah

Bismillahirrahmanirrahim.

NAMA sebenarnya ialah Ummu Kulsum binti Uqbah bin Abi Muith al-Amawiyyah al-Quraisyah. Bapanya merupakan seorang musuh Islam yang kuat. Sementara ibunya bernama Arwa binti Kuraiz merupakan srikandi yang memberi sumbangan kepada Islam.

Ummu Kulsum mempunyai saudara tiri yang bernama Usman bin Affan. Manakala adik-beradik kandungnya sebanyak enam orang iaitu al-Walid, Imarah, Khalid, Ummu Kulsum, Ummu Hakim dan Hindun.

Ummu Kulsum seorang wanita yang berani, cekal dan tabah. Hal ini terbukti semasa Ummu Kulsum di tahan oleh orang kafir Quraisy. Mereka menahan Ummu Kulsum daripada ikut serta berhijrah ke Madinah.

Semasa di Mekah, orang kafir Quraisy telah menyeksa Ummu Kulsum dan wanita Islam yang lain. Namun penyeksaan yang diterima oleh Ummu Kulsum tidak mematahkan semangatnya untuk berhijrah ke Madinah. Pada suatu hari, Ummu Kulsum telah mendapat satu idea. Dia ingin berhijrah ke Madinah sendirian.

"Saya rasa dengan cara ini mungkin saya boleh berhirah ke Madinah," bisik Ummu Kulsum sendirian.

Ummu Kulsum mendapat idea, lalu dia pun pergi ke luar rumahnya menjuju ke kampung yang terletak di padang pasir. Perkampungan itu agak terpencil. Ummu Kulsum pergi ke rumah saudaranya yang tinggal di kampung itu.

"Sudah agak lama awak tidak datang ke sini," kata saudaranya.

"Saya sibuk di rumah. Sekarang ini baru saya ada masa lapang," balas Ummu Kulsum.

Mereka berbual panjang. Kemudian Ummu Kulsum bertanya kepada saudaranya, "Bolehkah saya bermalam di sini?"

Saudaranya pun menjawab, "Boleh, apa salahnya. Awak tinggal di sini lebih lama pun tidak mengapa. Kita ini bersaudara. Elok kita jalinkan tali silaturrahim. Banyak pahala dan berkatnya."

"Terima kasih. Saya bercadang untuk tinggal di sini dua atau tiga hari lagi. Kemudian saya perlu pulang ke rumah semula," jelas Ummu Kulsum.

"Baiklah," jawab saudaranya.

Ummu Kulsum bermalam di rumah saudaranya. Dia berharap rancangannya berhijrah ke Madinah akan berjaya. Sampai masanya, Ummu Kulsum pulang semula ke rumahnya. Saudaranya juga tidak menghalangnya pulang ke rumah. Selang beberapa hari kemudian, Ummu Kulsum bersiap-siap seperti hendak ke rumah saudaranya lagi.

"Saya harap rancangan saya untuk pergi ke Madinah hari ini akan berjaya," bisik Ummu Kulsum sendirian.

Semasa dia bersiap untuk ke luar rumah, keluarganya menegurnya. "Awak hendak pergi ke rumah saudara awak lagikah?"

Sebelum ini keluarga Ummu kulsum sudah mengetahui bahawa dia pergi ke rumah saudaranya di perkampungan terpencil itu.

"Saya perlu bawa sedikit bekalan makanan," kata Ummu Kulsum.

"Ambil makanan ini," kata keluarganya sambil menghulur bekalan makanan kepadanya.

"Berhati-hati semasa dalam perjalanan ke sana," pesan keluarganya.

Ummu Kulsum terlepas daripada ditahan oleh ahli keluarganya. Dia terus berjalan meninggalkan rumahnya.

Kemudian datang seorang lelaki bertanya kepadanya, "Awak hendak kemana?"

"Ini bukan urusan awak. Mengapa awak ingin tahu?" jawab Ummu Kuslum.

Lelaki itu dengan beraninya berkata, "Awak tidak perlu takut dengan saya. Saya berasal dari Khazaah. Sekiranya awak tidak keberatan, saya sedia membantu awak."

"Lega rasanya bila dapat tahu lelaki ini dari Khazaah," bisik Ummu Kulsum sendirian.

Khazaah adalah satu wilayah pemerintahan Nabi Muhammad. Wilayah itu telah terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad.

"Saya adalah wanita Quraisy. Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad. Masalah saya sekarang ialah saya tidak tahu jalan hendak ke sana," jelas Ummu Kulsum.

Lantas lelaki itu berkata, "Saya tahu selok-belok jalan ke kota Madinah. Jika awak tidak keberatan saya boleh teman awak ke sana."

"Baik, saya setuju," jawab Ummu Kulsum.

Tanpa berlengah masa, lelaki itu pergi mengambil seekor unta. Unta itu diberikan kepada Ummu Kulsum untuk dinaiki. Mereka meneruskan perjalanan. Akhirnya mereka sampai di kota Madinah.

"Seronoknya saya. Dapat juga saya sampai di kota Madinah ini," bisik Ummu Kulsum sendirian.

"Terima kasih kerana sudi membantu saya," ucap Ummu Kulsum kepada lelaki itu.

"Sama-sama. Semoga awak berjaya berjumpa Nabi Muhammad," kata lelaki itu pula.

Akhirnya Ummu Kulsum berjaya berjumpa dengan Nabi Muhammad.

Sumber : Sini

Monday, January 18, 2010

Haji Pertama

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamu'alaikum.

Ibadat haji diwajibkan dalam tahun 9 H. Menurut sebahagian ulama' pula haji mula diperintahkan pada tahun 6 H. Rasulullah saw mengutus Abu Bakar menjadi Amir Haji (Pemimipin Jemaah haji) dalam tahun 9 H ini bersama umat Islam. Kaum musyrikin juga melakukan ibadat haji pada tahun itu. Jumlah kaum Muslimin yang mengerjakan ibadat haji pada tahun ini berjulah 300 orang dari Madinah.

Pada masa ini turunlah surah Al-Baraah (Surat at-Taubah) kepada Nabi Muhammad saw. Rasululah saw memanggil 'Ali bin Abu talib dan berkata kepadanya; "Berangkatlah engkau membawa berita surah al-Baraah ini, terangkan kepada manusia surah ini pada hari nahar iaitu ketika manusia berkumpul di Mina; terangkan kepada mereka, tidak akan masuk syurga orang2 yang kafir; sesudah tahun ini tidak dibolehkan orang2 musyrik mengerjakan haji. Mereka jiga tidak diizinkan mengerjakan tawaf secara bertelanjang. Tetapi orang2 yang masih terikat dengan perjanjian dengan Rasulullah saw masih diperkenankan sampai berakhirnya masa berlakunya perjanjian tersebut".

Allah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 1 hingga 4:
"(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) daripada Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka). (1) Oleh itu hendaklah kamu (wahai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas daripada (azab seksa) Allah dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat). (2) Dan inilah perisytiharan daripada Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (daripada kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripada (azab seksa) Allah dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya. (3) Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa. (4)"
'Ali bin Abu Talib berangkatlah dengan menunggang unta Rasulullah saw yang bernama Al-'Adlbaa' sehingga dapat menusuli dan bertemu dengan Abu Bakar As-Siddiq yang masih lagi dalam perjalanan. Abu Bakar bertanya kepada 'Ali; "Apakah engaku Amir atau Makmuur atau hanya orang suruhan?". 'Ali berkata; "saya hanyalah orang suruhan". Kemudian kedua-duanya meneruskan perjalan. abu Bakarlah yang memimpin manusia menunaikan haji pada tahun itu. Setelah tiba hari Nahar (10 Zulhijjjah) berdirilah 'Ali di tengah2 khalayak yang ramai itu menyampaikan apa yang disuruh oleh Rasulullah untuk disampaikan.

Dipetik daripada buku Riwayat Hidup Rasulullah saw oleh Abul Hasan Ali Al-Hasany An-Nadwy

Monday, January 4, 2010

Tunai amalan sunat perlu jihad tinggi dalam jiwa

DARIPADA Abu Hurairah, 'Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah melalui proses menunaikan segala perkara yang difardukan. Lebih tinggi daripada itu ialah melakukan amalan mendekatkan diri kepada Allah iaitu amalan an-Nawafil (sunat).



Untuk melakukan amalan seumpama itu memerlukan jihad yang tinggi dalam jiwa manusia, kemampuan serta kerelaan hati melaksanakannya, kesungguhan yang tidak pernah luntur dan berterusan, selain memusatkan segala kepentingan dan tujuan hanya kepada Allah semata-mata.


Antara amalan sunat yang digalakkan Rasulullah SAW ialah:



l Sembahyang sunat dhuha iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah.



l Berpuasa sunat terutama tiga hari dalam sebulan iaitu di hari putih (13, 14 dan 15 hari bulan dari bulan Qamariah).


l Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama selepas sembahyang wajib. Waktunya bermula ialah selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah satu rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.


Namun begitu, dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak dikerjakan sedangkan ia tidak diterima Allah mungkin disebabkan ibadat dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riak yang membinasakan pahala.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails