Friday, December 18, 2009

Hijrah

Hari ini (1 Muharam 1431 hijrah) iaitu tahun baru dalam kalendar Islam.

Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorangpun mahu mahu terus berada dalam kepayahan.

Sempena kehadiran bulan Muharam, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Makkah ke Madinah.

Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam.

Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.

Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "...(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar." (Surah al-Hasyr ayat 8).

Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Makkah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, minum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.

Justeru, Rasulullah s.a.w melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia (sir) dan terbuka.

Maka bermula penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai bentuk penindasan serta perpecahan di antara penduduk Makkah. Kebangkitan Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.

Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka turut mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat.

Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah.

Apabila umat Islam memiliki kesungguhan untuk mengubah diri mereka, Allah pasti memberikan pertolongan terhadap hamba-Nya. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad ayat 7).

Penghijrahan Rasulullah s.a.w itu akhirnya membuahkan hasil apabila mengubah segala pengalaman lampau seperti permusuhan, kejahilan serta kemunduran kepada penyatuan persaudaraan, masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi serta rancak dengan limpahan kemajuan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan, orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Hasyr ayat 9).

Namun, di sebalik kesukaran berhijrah, ia memberi pengajaran mendalam kepada umat Islam. Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad s.a.w adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Baginda seterusnya mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam. Nama Yathrib ditukar kepada Madinah al-Munawwarah yang bermaksud bandar yang bercahaya serta memeterai piagam Madinah.

Nabi Muhammad s.a.w menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkukuhkan tahap keselamatan negara.

Keadaan inilah yang dimanfaatkan Rasulullah s.a.w. dan sahabat r.a. mengerah usaha menyeru manusia kepada Islam sehingga akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia.

Saidina Umar r.a mengungkapkan kata yang bermaksud: "Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini."

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata tahun hijrah dipilih tahun permulaan Islam berdasarkan strategi serta perancangan hebat peristiwa itu.

"Kenapa tidak dipilih hari kebesaran Islam lain sebagai tahun permulaan hijrah? Ini disebabkan peristiwa hijrah lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam Makkah yang sanggup menggadai nyawa, meninggalkan segala harta benda untuk mencari keredaan Allah.

"Kemudian peristiwa hijrah ini menarik bukan kerana ia sarat dengan sejarahnya tetapi dengan 'pelancaran' strategi yang bijak serta terancang," katanya.

Katanya, umat Islam jangan menjadikan peristiwa hijrah ini satu catatan sejarah saja tanpa mengambil inti patinya.

"Peristiwa hijrah ini membuktikan Nabi Muhammad sanggup bersama-sama berkorban mengharungi kepayahan.

"Jika diikutkan statusnya sebagai kekasih Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w boleh membuat 'permintaan khas' bagi melakukan tugas sukar itu dengan mudah. Ini dibuktikan dalam peristiwa Israk bagaimana Nabi Muhammad naik ke langit dengan menunggang binatang digelar Buraq," katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu mempunyai simbolik terhadap kerjasama erat antara umat Islam dan bukan Islam.

"Ini dikaitkan dengan pembabitan Abdullah bin Arqat yang menjadi penunjuk jalan dalam perjalanan bertolak ke Madinah. Jalan yang dilalui pula bukan jalan biasa kerana Abdullah memang mahir selok belok laluan berkenaan bagi mengelak dihidu kafir Quraisy yang sentiasa meneliti pergerakan Nabi Muhammad s.a.w," katanya.

Biarpun beribu bertahun lamanya peristiwa itu, ia tetap dikenang umat Islam sebagai bukti kejayaan.

Jangan bangga dengan nama Islam tetapi tidak menjiwai watak sebenar seorang Muslim sejati.

Jadikan roh kejayaan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun hijrah ini sebagai detik bermulanya 'perjuangan' yang tidak ada penghujungnya iaitu perubahan seluruh jiwa ke arah kebaikan.


No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails