Wednesday, December 30, 2009

Marah biar bertempat

Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah

Bismillahirrahmanirrahim.

NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.

Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.

Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.

Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.

Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.

Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:

  • rasa bangga diri (sombong)

  • takjub kepada peribadi sendiri

  • suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas

  • suka bercakap perkara sia-sia

  • suka membuat fitnah

  • suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara

  • khianat

  • tamak kepada harta dan pangkat

  • tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.

    Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.

    Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.

    Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

    Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.

    Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur."

    Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.

    Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan; ketika itu beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.

    Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.

    Sumber: Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
  • Friday, December 18, 2009

    Perkara sunat dilakukan pada Hari Asyura

    1. Melapangkan masa dengan belanja anak isteri

    Fadhilat - Allah akan melapangkan hidup mereka pada tahun itu.


    2. Memuliakan fakir miskin

    Fadhilat - Allah akan melapangkan kubur mereka nanti.


    3. Menahan marah

    Fadhilat - Di akhirat kelak Allah s.w.t akan memasukkan mereka ke dalam golongan yang reda.


    4. Menunjukkan orang sesat

    Fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hati.


    5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim

    Fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi setiap rambut yang diusap.


    6. Bersedekah

    Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tidak berhenti-henti daripada kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.


    7. Memelihara kehormatan diri

    Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.


    8. Mandi sunat

    Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun berkenaan. Lafaz niat : Sahaja aku mandi sunat Hari Asyura kerana Allah Taala.


    9. Bercelak

    Fadhilat - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.


    10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali

    Fadhilat - Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat pada hari akhirat.


    11. Sembahyang sunat empat rakaat

    Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walaupun berlarutan selama

    50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku solat sunat Hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala."

    Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.



    12. Menjamu orang berbuka puasa

    Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.



    13. Puasa

    Niat - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat Hari Asyura kerana Allah Taala.

    Fadhilat - Diberi pahala 1,000 kali haji, 1,000 kali umrah dan 1,000 kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

    Sumber : Sini

    Hijrah

    Hari ini (1 Muharam 1431 hijrah) iaitu tahun baru dalam kalendar Islam.

    Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorangpun mahu mahu terus berada dalam kepayahan.

    Sempena kehadiran bulan Muharam, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Makkah ke Madinah.

    Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam.

    Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.

    Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy.

    Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "...(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar." (Surah al-Hasyr ayat 8).

    Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Makkah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, minum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.

    Justeru, Rasulullah s.a.w melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia (sir) dan terbuka.

    Maka bermula penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai bentuk penindasan serta perpecahan di antara penduduk Makkah. Kebangkitan Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.

    Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka turut mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat.

    Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah.

    Apabila umat Islam memiliki kesungguhan untuk mengubah diri mereka, Allah pasti memberikan pertolongan terhadap hamba-Nya. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad ayat 7).

    Penghijrahan Rasulullah s.a.w itu akhirnya membuahkan hasil apabila mengubah segala pengalaman lampau seperti permusuhan, kejahilan serta kemunduran kepada penyatuan persaudaraan, masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi serta rancak dengan limpahan kemajuan.

    Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan, orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Hasyr ayat 9).

    Namun, di sebalik kesukaran berhijrah, ia memberi pengajaran mendalam kepada umat Islam. Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad s.a.w adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

    Baginda seterusnya mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam. Nama Yathrib ditukar kepada Madinah al-Munawwarah yang bermaksud bandar yang bercahaya serta memeterai piagam Madinah.

    Nabi Muhammad s.a.w menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkukuhkan tahap keselamatan negara.

    Keadaan inilah yang dimanfaatkan Rasulullah s.a.w. dan sahabat r.a. mengerah usaha menyeru manusia kepada Islam sehingga akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia.

    Saidina Umar r.a mengungkapkan kata yang bermaksud: "Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini."

    Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata tahun hijrah dipilih tahun permulaan Islam berdasarkan strategi serta perancangan hebat peristiwa itu.

    "Kenapa tidak dipilih hari kebesaran Islam lain sebagai tahun permulaan hijrah? Ini disebabkan peristiwa hijrah lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam Makkah yang sanggup menggadai nyawa, meninggalkan segala harta benda untuk mencari keredaan Allah.

    "Kemudian peristiwa hijrah ini menarik bukan kerana ia sarat dengan sejarahnya tetapi dengan 'pelancaran' strategi yang bijak serta terancang," katanya.

    Katanya, umat Islam jangan menjadikan peristiwa hijrah ini satu catatan sejarah saja tanpa mengambil inti patinya.

    "Peristiwa hijrah ini membuktikan Nabi Muhammad sanggup bersama-sama berkorban mengharungi kepayahan.

    "Jika diikutkan statusnya sebagai kekasih Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w boleh membuat 'permintaan khas' bagi melakukan tugas sukar itu dengan mudah. Ini dibuktikan dalam peristiwa Israk bagaimana Nabi Muhammad naik ke langit dengan menunggang binatang digelar Buraq," katanya.

    Beliau berkata, peristiwa itu mempunyai simbolik terhadap kerjasama erat antara umat Islam dan bukan Islam.

    "Ini dikaitkan dengan pembabitan Abdullah bin Arqat yang menjadi penunjuk jalan dalam perjalanan bertolak ke Madinah. Jalan yang dilalui pula bukan jalan biasa kerana Abdullah memang mahir selok belok laluan berkenaan bagi mengelak dihidu kafir Quraisy yang sentiasa meneliti pergerakan Nabi Muhammad s.a.w," katanya.

    Biarpun beribu bertahun lamanya peristiwa itu, ia tetap dikenang umat Islam sebagai bukti kejayaan.

    Jangan bangga dengan nama Islam tetapi tidak menjiwai watak sebenar seorang Muslim sejati.

    Jadikan roh kejayaan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun hijrah ini sebagai detik bermulanya 'perjuangan' yang tidak ada penghujungnya iaitu perubahan seluruh jiwa ke arah kebaikan.


    Sunday, December 13, 2009

    Tiga Golongan Yang Dilaknat

    Bismillahirrahmanirrahim.

    Assalamu'alaikum.

    Hadith :

    Dari Abu Hurairah r.a. katanya, “Bersabda Rasulullah s.a.w.: Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan daripada Allah pada hari kiamat, bahkan akan mendapat siksa yang pedih; iaitu si tua bangka yang berzina, raja atau kepala negara atau penguasa yang pendusta dan fakir yang sombong.(Muslim)

    Huraian:

    Setiap perbuatan berdosa adalah dikira sebagai maksiat kepada Allah SWT.

    Orang yang tidak pernah bertaubat daripada dosa yang pernah dilakukannya akan ditimpa laknat daripada Allah dan di akhirat kelak akan mendapat hukumannya.

    Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadith di atas melambangkan tentang besarnya kesalahan dan dosa yang dilakukan memandangkan perkara-perkara tersebut sewajarnya tidak berlaku pada orang-orang yang menggunakan akal fikiran dan benar-benar menyedari hakikat diri mereka.

    Hanya orang yang keras hati dan mati jiwanya sahaja tidak takut akan kemurkaan Allah SWT dan tanpa mempedulikan kebenaran kewujudan hari pembalasan, mereka sanggup melakukan apa sahaja mengikut hasutan hawa nafsu sekalipun ia jelas perbuatan terkutuk dan terlarang dan sekalipun manusia sekeliling amat membenci dan mengutuknya.

    Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

    Friday, December 11, 2009

    Cahaya Misteri

    GAMBAR menunjukkan cahaya aneh yang muncul di ruang angkasa
    wilayah Trondelag, Norway semalam.


    OSLO - Satu cahaya misteri seperti lingkaran ubat nyamuk muncul di utara Norway menyebabkan ribuan penduduk di situ kebingungan, lapor sebuah akhbar semalam.

    Saksi-saksi dari wilayah Trondelag sehingga ke Finnmark mendakwa, fenomena itu bermula dengan kemunculan satu cahaya biru meluncur naik dari sebalik sebuah bukit.

    Ia kemudian berhenti di tengah udara dan mula melingkar dengan membentuk satu pusaran gergasi meliputi keseluruhan langit sebelum hilang semalam.

    Institut Meteorologi Norway dihujani panggilan telefon namun pakar astronomi berkata, cahaya itu tiada kaitan dengan fenomena yang biasa dilihat.

    Menara Kawalan Trafik Udara di Tromso, 1,150 kilometer dari sini mendakwa, cahaya aneh itu berakhir dalam masa dua minit dan amat sukar untuk dianggap sebagai fenomena astronomi.

    Seorang saksi, Totto Eriksen di Tromso berkata, dia melihat cahaya itu semasa membawa anaknya ke sekolah dan menganggap fenomena tersebut amat menakjubkan. - Agensi

    Sumber: Kosmo Online

    Wednesday, December 9, 2009

    KEDUDUKAN MAKKAH DI TENGAH BUMI

    Bismillahirrahmanirrahim.


    Assalamu'alaikum.


    MAKKAH Al-Mukarramah adalah kota suci tempat turunnya wahyu llahi kepada Nabi Muhammad saw. Di sini, terletaknya Masjidil Haram dan Kaabah yang menjadi tanda kebesaran Allah.


    Makkah adalah kota paling suci di bumi ini serta paling dicintai Allah dan rasul-Nya. Ia juga menjadi tanah kelahiran Nabi Muhammad dan pusat terpancarnya nur Allah di bumi ini.


    Abdullah bin `Adi bin Al-Hamra meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Demi Allah! Kamu (wahai Makkah) adalah tanah Allah yang terbaik dan yang sangat dicintai olehNya. Andaikata aku tidak diusir daripada kamu, aku tak akan berpisah (daripada kamu)." (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Tirmizi).


    Ibn `Abbas pula berkata: Rasulullah saw bersabda: "Betapa tempat yang indahnya kamu! Kamu adalah tempat yang paling aku cintai! Sekiranya orangku tidak mengusirku daripadamu, aku tak akan berpisah (dari sini)untuk hidup di satu tempat yang lain."


    Al-Quran secara khusus, berkali-kali menyebut kota ini dengan pelbagai nama yang berjumlah sebelas semuanya. Antaranya adalah Makkah, Bakkah, Al-Baladul Amin, Al-Haramul Amin, Ummul Qura dan Al-Baldah Al-Tayyibah.


    Bahkan, Allah bersumpah dengan kota suci ini serta memberikan kelebihan dan keistimewaan besar, yang tidak diberikan kepada kota lain.


    Masjidil Haram dan Kaabah Baitul Atiq yang menjadi kiblat umat Islam sedunia, menjadikan kota suci ini sangat dicintai dan berpengaruh besar bagi umat Islam sepanjang masa.


    Setiap umat Islam menghadapkan muka ke arah kiblat sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam.


    Ia menjadi tempat untuk seluruh kaum Muslimin sedunia menunaikan haji dan umrah.


    Di pinggir Kota Makkah, iaitu di Jabal Nur, turunnya wahyu llahi yang pertama iaitu Surah Al-Alaq.


    Di sini juga menjadi tempat Nabi Muhammad menyendiri dan beribadat kepada Allah.


    Selepas itu wahyu turun berturut-turut kepada Nabi Muhammad melalui Jibril hingga ayat suci al-Quran yang turun di kota ini dinamakan ayat Makkiyyah, manakala yang turun di Madinah dinamakan ayat Madaniyyah.

    Di permukaan kota inilah bermulanya perjuangan menegakkan agama Allah yang suci. Pejuang dan pemuka Islam yang pertama, bergerak menghadapi ajaran sesat yang berkembang kukuh di kalangan penduduk Musyrikin Makkah pada masa itu. Patung dan berhala dipuja dan disembah.


    Di kota inilah Nabi dan sahabat dimusuhi serta disingkir hingga terpaksa meminggirkan diri daripada masyarakat.

    Mereka terkepung di lereng gunung dekat Syiib Amir. Di sinilah, sahabat Nabi, pejuang Islam yang pertama, menerima pelbagai seksaan tubuh dan mental. Namun mereka terus bersabar sehingga Allah memberi kemenangan gemilang kepada mereka mengalahkan kaum Musyrikin.

    Kehebatan dan keagungan kota Makkah bukan sekadar catatan dalam sejarah Islam dan melalui firman Allah dan hadis semata-mata, malah dibuktikan melalui kajian dan penyelidikan saintifik.


    Hal ini dibuktikan oleh profesor dari Mesir, Prof Hosien Kamal El Din Ibrahim yang mencuba satu kaedah baru bagi menentukan arah kiblat dari seluruh penjuru dunia.


    Beliau banyak menerbitkan artikel saintifik di bidang kejuruteraan awam. Untuk itu beliau melukis peta dunia yang baru yang dapat menunjukkan arah Makkah dari kota lain di dunia.


    Dengan menggunakan perkiraan matematik dan kaedah spherical triangle, Hosien mendapati kedudukan Makkah betul-betul berada di tengah-tengah bumi.


    Penyelidikan beliau ini membuktikan bahawa bumi ini berkembang dari Makkah. Jelasnya, Makkah adalah pusat bumi.


    Penyelidikyang lain kemudiannya mengakui ketepatan kiraan beliau apabila mereka menggunakan program komputer bagi membuat kiraan dan melukis peta itu.


    Sebelum itu, Abi Fadlallah Al-Emary yang meninggal dunia pada tahun 749 Hijrah, turut melukis peta yang menentukan arah kiblat.


    Peta itu terkandung dalam kitabnya Masalik Al Absar Fi Mciinalik Al Amsar. Beliau menggunakan kaedah astronomi bagi menentukan arah kiblat.


    Seorang lagi pemikir Islam, Al-Safaksy (meninggal dunia tahun 958 hijrah) turut melukis peta dengan menggunakan pendekatan astronomi.


    Penyelidik kemudiannya mengkaji kedua-dua peta itu dan membandingkannya dengan kaedah astrologi moden. Mereka mendapati kaedah yang digunakan oleh Al-Emary dan Al-Safaksy adalah sangat tepat.

    Selepas dibandingkan dengan kaedah moden, kedua-dua peta itu membuktikan Makkah dan Kaabah adalah `pusat bumi'.


    Hasil kajian ini diakui benar dan diisytiharkan oleh The Egyptian Scholars of The Sun and Space Research Center yang berpusat di Kaherah.

    BH - 21 December 2004 / 9 Zulkaedah 1425


    Sumber : SINI

    Saturday, December 5, 2009

    Terlepas Wukuf

    Bismillahirrahmanirrahim.

    Assalamu'alaikum.

    WUKUF ialah salah satu rukun terpenting ibadat haji dan mereka yang terlepas waktunya menyebabkan hajinya tidak sah. Wukuf bermakna jemaah haji mestilah berada di bumi Arafah pada mula gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar pada hari raya (10 Zulhijjah). Disunatkan duduk di bawah Jabal Rahmah jika memungkinkan bagi lelaki.

    Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Haji itu ialah wukuf di Arafah". Namun demikian, jemaah hendaklah melakukan rukun haji yang lain di samping wukuf bagi meluluskan ibadat haji mereka.

    Bagi yang terlepas wukuf di Arafah tidak dikira berhaji dan wajib bagi mereka membayar Dam dengan menyembelih binatang dan mengqada hajinya itu pada masa akan datang.

    Mereka mestilah membebaskan diri daripada ihram haji dengan bertahallul iaitu tawaf, sai' dan bercukur. Perkara ini disebut melalui hadis riwayat Imam Malik dalam kitab Muwatta' bahawa seorang sahabat bernama Habbar datang pada hari raya kerana tersalah perhitungan hari ketika Saidina Umar sedang menyembelih korbannya.

    Lalu Habbar berkata, "Wahai Amirul Mu'minin, kami sudah tersalah kira dengan menyangka hari ini adalah hari Arafah. Maka Umar pun berkata: Pergilah engkau ke Makkah tawaf di Baitullah, Sa'i antara Safa dan Marwa dan hendaklah kamu sembelih jika mampu. Pulanglah dan datang lagi tahun depan untuk berhaji serta sembelih. Jika tidak, maka hendaklah berpuasa tiga hari dalam haji dan tujuh hari apabila sudah pulang.

    Sumber Sini

    Anda Juga Mungkin Meminati

    Related Posts with Thumbnails