Sunday, June 19, 2011

Tutankhamun disemadi terburu-buru


WAJAH Tutankhamun mengikut imbasan teknologi di sebelah kepalanya.
WAJAH Tutankhamun mengikut imbasan teknologi di sebelah kepalanya.
2011/06/19
Penyelidikan dapati cara pengebumian Firaun termuda Mesir dalam keadaan luar biasa

KAHERAH: Raja Tutankhamen, salah seorang Firaun paling muda pernah memerintah Mesir purba, meninggal dunia ketika usia remaja (19 tahun), umur terlalu muda berbanding jangka hayat nenek moyangnya.
Ketika punca kematiannya terus diperdebatkan, bukti terbaru yang dikumpulkan Institut Pemuliharaan Getty mendedahkan bahawa beliau dikebumikan lebih cepat berbanding pemerintah Mesir lain pada zaman purba itu. 

Ahli mikrobiologi Universiti Harvard, Ralph Mitchell, pakar kimia di institut berkenaan memulakan analisis ke atas sejumlah bintik berwarna coklat di seluruh dinding yang dilukis dengan gambar Dewi Hathor di makam Raja Tut.

Apa yang mereka temui ialah sisa bakteria atau kulat yang pernah hidup dan hampir tidak berubah sejak makam itu dibuka pada 1922.

“Dengan menggunakan kultur spesimen hidup dari dalam makam dan teknologi urutan DNA, kami mampu mengklasifikasikan bahawa bintik coklat itu adalah mikro organisma si mati,” katanya.

Saintis di Institut Pemuliharaan Getty juga mengesan bahan melanin, sejenis bahan sampingan kulat (dan kadangkala bakteria) di seluruh dinding makam. 

Walaupun tiada organisme tertentu dikaitkan dengan bintik coklat itu, maklumat ini boleh membantu ahli arkeologi untuk memahami secara lebih mendalam keadaan ketika pengebumian Raja Tut.

“Pintu makam berkemungkinan besar ditutup sebelum cat atau plaster dinding benar-benar kering, memberi isyarat bahawa Raja Tut dikebumikan dalam keadaan tergesa-gesa,” kata Mitchell pada satu sidang akhbar.

Beliau memberi hujah bahawa kombinasi kelembapan, makanan, proses mumia dan kemenyan dalam makam itu menyebabkan tempat itu sesuai bagi bahan mikro organisma membiak.

Oleh kerana kebanyakan makam Firaun Mesir diberi cukup masa sebelum ditutup, pengebumian Raja Tut yang tergesa-gesa itu dianggap luar biasa bagi seorang yang terkenal sepertinya.

“Fakta bahawa makam Raja Tut menunjukkan tanda kehidupan mikro di dalamnya, mungkin boleh membantu ahli sejarah mendapatkan maklumat terperinci membabitkan punca kematian beliau,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Antikuiti Mesir, Zahi Hawas berkata sepasang patung datuk Tutankhamun yang tumbang ditemui di tempat kerabat itu dikebumikan. – Agensi 

Fukushima malapetaka terburuk dalam sejarah


Foto
BANDAR Itate, Fukushima, lengang selepas penduduknya dipindahkan akibat kenaikan paras radiasi, Mei lalu.
Foto
GUNDERSEN mengulas bencana nuklear Fukushima

Foto


2011/06/19
Krisis nuklear 20 kali ganda teruk daripada Chernobyl

WASHINGTON: Pakar sains percaya bencana nuklear Jepun sebenarnya lebih teruk daripada apa yang didedahkan untuk pengetahuan umum dan lebih serius dibandingkan krisis loji Chernobyl, Ukraine, lebih dua dekad lalu.
Gempa bumi pada tahap magnitud 9 pada 11 Mac lalu disusuli tsunami melumpuhkan sistem penyejukan di loji nuklear Fukushima diikuti beberapa letupan hidrogen dan reaktornya lebur hingga memaksa penduduk yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu dipindahkan.

Ibu Pejabat Tindakan Kecemasan Nuklear Jepun mengakui awal bulan ini bahawa reaktor 1, 2 dan 3 loji Fukushima lebur sepenuhnya.

Syarikat Elektrik Tokyo (TEPCO) yang bertanggungjawab atas reaktor itu turut mengumumkan ‘kemalangan’ itu mungkin melepaskan lebih banyak bahan radioaktif ke alam sekitar berbanding Chernobyl sekali gus menjadikannya bencana terburuk nuklear dunia setakat ini.

Ketika diwawancara stesen Al Jazeera, seorang pakar nuklear, Arnold Gundersen, berkata: “Fukushima adalah bencana industri terbesar dalam sejarah manusia.”

Beliau percaya, lebih banyak teras reaktor di loji nuklear Fukushima melepaskan radiasi daripada apa yang diketahui umum.
Gundersen mempunyai pengalaman kejuruteraan kuasa nuklear selama 39 tahun dan pernah mengurus serta menyelaras projek di 70 loji kuasa nuklear seluruh Amerika Syarikat.

TEPCO menyembur air ke beberapa reaktor dan teras bahan api nuklear loji itu tetapi ia hanya membawa lebih banyak masalah termasuk radiasi dilepaskan ke udara dan air laut termasuk beribu-ribu tan air laut dicemari radioaktif yang perlu dibuang.

Baru-baru ini, TEPCO mendedahkan rancangan baru membersihkan air yang mengandungi radioaktif tetapi menangguhkannya kerana masalah teknikal yang bermakna proses menyejukkan reaktor Fukushima belum bermula.

“Masalahnya ialah bagaimana menyejukkannya. Mereka curah air tetapi bagaimanakah mereka dapat buang mendapan radioaktif yang dihasilkan serta mengandungi plutonium dan uranium? Di mana mereka boleh simpan air itu?

“Sebanyak 20 teras nuklear terdedah (dan melepaskan radiasi), itu bermakna ia berpotensi 20 kali ganda lebih buruk kesannya berbanding Chernobyl.

“Anda tidak mungkin dapat bersihkannya. Kita masih kesan radiasi pada babi hutan di Jerman, 30 tahun selepas Chernobyl berlaku,” kata Gundersen.

Di Tokyo, kebimbangan meningkat selepas penduduk diberi amaran supaya tidak memberi air paip kepada bayi mereka kerana kebocoran radiasi di Fukushima.

Meskipun amaran itu kemudian ditarik balik, kadar radiasi dalam produk ladang termasuk daun teh di kawasan lebih jauh dari Fukushima, melebihi had ditetapkan.

Tinjauan terbaru mengesan radiasi satu meter di atas tanah di sebuah taman di Tokyo mencapai 0.06 mikrosievert sejam.

Saintis lain yang memantau ‘kawasan panas’ radioaktif di sekitar Jepun dan tempat lain turut bimbang, lebih-lebih lagi selepas seorang penasihat kerajaan Jepun melaporkan kawasan seluas 966 kilometer persegi, 17 kali ganda saiz Manhattan, mungkin tidak sesuai untuk didiami.

Dua pakar perubatan kanan Amerika, Janette Sherman dan Joseph Mangano menyiarkan artikel mengenai peningkatan 35 peratus kematian bayi di lapan bandar di barat laut Amerika yang mungkin disebabkan radiasi Fukushima.

Bandar itu termasuk San Jose, Berkeley, San Francisco, Sacramento, Santa Cruz, Portland, Seattle dan Boise. Gundersen berkata, radiasi yang dilepaskan sebenarnya lebih banyak hingga sampai ke bandar di Amerika.

Paling bahaya ialah ‘partikel panas’ membabitkan pembebasan isotop caesium, strontium dan plutonium.

“Kami temui partikel panas di semua tempat di Jepun, termasuk Tokyo. Ramai menghidunya kerana ia memasuki penapis udara enjin kenderaan.

“Partikel itu akan melekat pada paru-paru dan akan sentiasa memberi masalah. Sebatang rokok yang dihisap tidak bahaya kerana memakan masa lama. Partikel panas itu boleh menyebabkan kanser dan ia tidak dapat diukur menggunakan alat Geiger,” katanya. – Agensi 

Ombak matahari lebih besar daripada Bumi


NYALAAN solar dikesan di permukaan matahari.
NYALAAN solar dikesan di permukaan matahari.

2011/06/19
FLORIDA: Gelombang besar plasma panas yang bergulung di atas permukaan matahari dikatakan bergerak dengan kelajuan setinggi 4.5 juta batu (7.2 juta kilometer) sejam, dedah kajian terbaru. Ombak yang terlalu besar itu sebesar 16 Bumi.

Ini adalah bukti pertama yang jelas mengenai atmosfera rendah matahari mengandungi gelombang magnetsonik sangat laju.

Gelombang laju itu mempunyai halaju 2.3 juta hingga 4.5 juta batu sejam (1,000 hingga 2,000 kilometer sesaat), tempoh dalam lingkungan 30 hingga 200 saat dan lebar ombak itu antara 100,000 hingga 200,000 kilometer, bersamaan jika lapan hingga 16 Bumi disusun di atas satu sama lain.

Ahli sains menemui ombak itu dengan alat Pengumpulan Pengimejan Atmosfera, peralatan dalam Pemantauan Dinamik Solar NASA, yang digunakan untuk memantau matahari daripada orbit mengelilingi Bumi. Gelombang besar pada matahari berlaku apabila letusan atau nyalaan permukaan solar menolak plasma panas.

Saintis sudah memerhatikan gelombang perlahan pada matahari tetapi gerakan pantas ombak yang turut dijangkakan oleh teori, sehingga kini tidak dikesan kerana teleskop angkasa sebelum ini tidak mampu merakam secukupnya imej pantas itu.

“Ia seperti fenomena biasa,” kata Ketua Fizik di Makmal Astrofizik dan Solar Lockheed Martin, Karel Schrijver di Palo Alto, California dalam satu kenyataan.

“Walaupun matahari kelihatan tenang, kita lihat puluhan gelombang itu. Walaupun mekanisme mencetuskan gelombang itu masih dikaji, ia seperti berkait rapat dengan nyalaan solar.”

Dengan memerhati gelombang ini, ahli sains berharap dapat lebih faham proses fizik solar dan kesannya berdekatan dengan ruang Bumi dan persekitaran angkasa.

“Penemuan dan analisis ini penting kerana kita menyaksikan fenomena di mana sebelum ini tidak kita sedari,” kata ketua penyelidik di Pengumpulan Imej Atmosfera makmal Lockheed Martin, Alan Title yang kali pertama perasan mengenai kelajuan gelombang itu.

“Kemuncak penemuan ini ialah lebih banyak kita melihat nyalaan solar, lebih banyak gelombang yang kita lihat dan pemantauan dan analisis ini membawa kepada pemahaman yang lebih baik terhadap proses yang terbabit,” katanya. – Agensi 

Puluhan bot dilambung puting beliung


SEBUAH bot nelayan tersadai di jeti kerana diterbangkan puting beliung di pangkalan Teluk Buih, Mersing, semalam.
SEBUAH bot nelayan tersadai di jeti kerana diterbangkan puting beliung di pangkalan Teluk Buih, Mersing, semalam.

PUSARAN angin puting beliung yang melanda Teluk Buih, Air Papan, Mersing, semalam sempat dirakam pembaca setia Berita Minggu. (berita lanjut)
Jun 19, 2011 7:39 am
2011/06/19
Angin kencang selama 10 minit turut rosakkan khemah peniaga

MERSING: “Saya hanya mampu berdoa agar puting beliung itu tidak menghala ke arah kami yang sedang berniaga kerana ngeri mengenangkan ribut memusnahkan Bazar Ramadan Melaka tahun lalu yang mengorbankan beberapa mangsa.
"Doa kami dimakbulkan apabila puting beliung itu menghala ke arah Teluk Buih, tetapi tempiasnya saja sudah cukup untuk merosakkan beberapa gerai di sini,” kata Rosli Derani, 42, peniaga pasar lambak Jalan Makam, di sini.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin itu, dia yang berniaga sup tulang dapat melihat dengan jelas pusaran angin bergerak menghala ke Teluk Buih sambil tempiasnya terasa sehingga ke kawasan perniagaan itu.

Walaupun puting beliung yang dilihat bermula dari Pulau Setindan berhampiran Pantai Teluk Buih itu tidak menghala ke pasar lambak, tempiasnya sudah cukup menyebabkan hampir 10 khemah peniaga rosak bersama puluhan bot gentian kaca milik nelayan yang diterbangkan angin.

Kejadian berterusan kira-kira 10 minit itu adalah yang kedua dalam tempoh seminggu di daerah ini dan menggemparkan penduduk sekitar Kampung Air Papan dan Teluk Buih. Walaupun tiada kemalangan jiwa, sekurang-kurangnya empat bot nelayan musnah dan bumbung jeti pangkalan Teluk Buih diterbangkan angin kencang.

Pengunjung dari Kluang, Muslim Abdullah, 46, berkata ketika kejadian beliau yang berada di atas jeti sempat menyelamatkan diri dengan berlindung di kawasan selamat manakala orang ramai di sekitar pantai bertempiaran lari mencari perlindungan dalam keadaan bot gentian kaca berterbangan dibawa angin kencang.
“Bot yang berat itu mampu diterbangkan angin bagaikan kertas yang melayang sebelum jatuh menghempap jeti. Syukur saya dan anak terselamat... kalau terperangkap dalam pusaran angin itu, sukar untuk digambarkan nasib kami," katanya.

Jakim sahkan HP Sauce, Tabasco Pepper Sauce mengandungi DNA babi





KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarahkan menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.

Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sazali Harun, mereka juga diminta melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing kepada Jakim.

"Jakim sebelum ini telah mengambil sampel produk tersebut dan keputusan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan terdapat DNA babi di dalamnya.

"Mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan resit pembelian produk baru kepada pihak kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan yang berasingan, beliau turut memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.

Penarikan sijil halal terhadap syarikat tersebut dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang diadakan pada 22 April lalu.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails