Monday, October 31, 2011

Perkhidmatan monorel Arafah-Mina siap


2011/10/31
 
MAKKAH: Sistem monorel Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (Makkah Metro) kini siap sepenuhnya bagi membawa jemaah haji antara Arafah dan Mina.

Penolong Pengurus Stesen Arafah 1, Yuszaini Mohd Yusop, berkata pada musim haji tahun lalu, perkhidmatan itu beroperasi hanya 35 peratus.

"Perkhidmatan tren ini adalah bagi mengatasi kesesakan jalan raya yang sering berlaku pada setiap musim haji terutama ketika jemaah bergerak menuju ke Padang Arafah untuk melakukan wukuf," katanya di sini.

Wukuf iaitu satu daripada rukun haji yang mesti dipenuhi oleh setiap anggota jemaah, pada tahun ini ialah pada 5 November bersamaan 9 Zulhijjah.

Jemaah dengan berpakaian ihram akan bergerak dari Makkah menuju ke Padang Arafah pada 4 November dan bermalam di sana.

Yuszaini adalah seorang daripada 146 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang dipinjamkan bertugas dengan Makkah Metro.

Sistem monorel itu mempunyai sembilan stesen melibatkan tiga lokasi utama iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina (setiap tempat mempunyai tiga stesen), dengan jarak 20 kilometer. 

Yuszaini berkata, monorel sepanjang 300 meter mempunyai 12 gerabak dengan 60 pintu, mampu membawa antara 3,500 dan 4,000 penumpang setiap perjalanan.

Monorel dengan kelajuan 80 kilometer sejam dilengkapi pendingin hawa, peralatan keselamatan dan kecemasan serta pemantauan kamera litar tertutup.

Beliau berkata, kepakaran yang dimiliki kakitangan KTMB dalam mengendalikan sistem pengangkutan serupa di Malaysia mendapat kepercayaan pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengendalikan perkhidmatan Makkah Metro. 


Kumpulan wartawan dari negara Islam turut dibawa meninjau persiapan untuk menerima jemaah haji dari seluruh dunia di Padang Arafah.

Khemah sudah didirikan untuk menempatkan jemaah mengikut benua dan negara. - BERNAMA 

Sunday, October 30, 2011

Ular sawa telan rusa dibunuh

ULAR SAWA betina yang ditangkap di Taman Negara Everglades, negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.


TAMAN NEGARA EVERGLADES, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pekerja di Taman Negara Everglades, negeri Florida, menangkap dan membunuh seekor ular sawa Burma sepanjang 4.87 meter.

Reptilia itu ditangkap semasa ia kekenyangan selepas menelan seekor rusa seberat 34.5 kilogram.

Penyelaras spesies eksotik Suruhanjaya Perikanan dan Hidupan Liar Florida, Scott Hardin berkata, pekerja-pekerja berkenaan menemui ular sawa betina itu pada Khamis lalu.

Menurutnya, ular itu ialah antara reptilia terbesar pernah ditemui di Florida Selatan. - Agensi

Friday, October 28, 2011

Ibu kota Thailand 'dikepung' air bah

SEBUAH jeti yang rosak dilihat terapung di Sungai Chao Phraya. Banjir besar yang melanda memaksa pihak berkuasa Thailand mengarahkan penduduk supaya keluar dari Bangkok.-Reuters


BANGKOK - Puluhan ribu orang membanjiri stesen bas dan lebuh raya dalam usaha meninggalkan ibu kota Thailand, Bangkok ketika situasi banjir di sini semakin meruncing dengan arahan perpindahan pertama telah dikeluarkan.

Kota metropolis yang dihuni sembilan juta orang itu kini dikelilingi air banjir.

Setakat ini, banjir yang melanda Thailand sejak Julai lalu telah mengorbankan 373 orang di seluruh negara dengan kerugian mencecah berbilion-bilion dolar. Lapangan Terbang Don Muang iaitu lapangan terbang kedua terbesar di sini turut ditutup akibat banjir.

Setakat semalam, kebanyakan kawasan di Bangkok masih belum ditenggelami air. Namun, warga kota dilihat giat melakukan persediaan ekoran banjir kali ini yang tidak dapat dielakkan.

Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, penduduk di dua daripada 50 daerah di sini iaitu Don Muang and Bang Phlat sudah diarah berpindah.

Kedua-dua daerah tersebut kini ditenggelami air banjir.

SEORANG lelaki mengayuh sebuah sampan ketika mengharung banjir di tengah-tengah kota Bangkok.-AFP

"Ini kali pertama saya menggunakan perkataan berpindah. Ini juga kali pertama saya meminta anda semua supaya beredar ke tempat lebih selamat," kata Sukhumbhand.

Di tempat-tempat lain di Bangkok, ribuan penduduk membanjiri terminal bas Mo Chit untuk meninggalkan bandar raya tersebut.

Kebanyakan mereka mengambil kesempatan cuti umum lima hari yang diisytiharkan oleh kerajaan bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dalam banjir.

Cuti umum berkenaan yang bermula semalam hingga Isnin depan melibatkan kawasan-kawasan terjejas teruk akibat banjir termasuk Bangkok.

Sementara itu, peta satelit menunjukkan bandar raya itu kini 'dikepung' oleh air banjir.

Banjir yang melanda utara Thailand sejak Julai lalu sedang mengalir ke bandar raya ini dan menuju ke Teluk Thailand di selatan negara itu.

"Jumlah airnya amat besar," kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

"Sebahagian air banjir akan melanda Bangkok tetapi kita akan berusaha supaya banjir mengalir keluar dengan seberapa segera," tambahnya.

Menurut Yingluck, beberapa kawasan di sini mungkin ditenggelami air sedalam 10 sentimeter hingga 1.5 meter.

SEKUMPULAN penduduk menaiki sebuah trak untuk keluar dari Bangkok.

"Jika tiga tembok penghadang banjir di sini kekal utuh, situasi di Bangkok akan bertambah baik. Namun, jika benteng tersebut gagal, seluruh Bangkok akan dilanda banjir," ujarnya.

Sementara itu, pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota memberhentikan pengeluarannya pada Sabtu ini di empat buah kilang di Amerika Utara termasuklah Indiana, Kentucky, Ontario Kanada dan Virginia berikutan impak banjir di Thailand.

"Banjir di Thailand telah menyebabkan gangguan dalam pengeluaran beberapa pembekal di rantau itu. Kami masih belum pasti sama ada boleh memulakan pengeluaran pada Isnin (31 Oktober) atau sebaliknya. Kami akan memantau keadaan di sana," kata jurucakap Toyota, Amiko Tomita.- Agensi

Beberapa pelancong berjalan di sebuah kawasan yang dilanda banjir di tepi Sungai Chao Phraya, Bangkok kelmarin

kosmo

Wednesday, October 26, 2011

Jenazah Gaddafi dikebumikan

SEORANG jurugambar semalam merakamkan tempat mayat Muammar Gaddafi diletakkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di Misrata sebelum ia dipindahkan untuk dikebumikan di gurun Sahara.


MISRATA - Jenazah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara semalam bersama dengan seorang anak lelakinya, Motassim, kata seorang pegawai kerajaan sementara.

"Jenazah itu telah dibawa pada awal pagi dan baru dikebumikan di gurun bersama dengan anaknya," kata pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu, Abdel Majid Mlegta.

Menurutnya, hanya dua orang yang amanah diberikan kepercayaan untuk melakukan misi rahsia itu.

"Mereka itu bukannya pengawal tetapi orang amat dipercayai NTC," katanya.

"Apa yang boleh saya katakan adalah proses pengebumian itu memakan masa dan dilakukan jauh daripada pihak media," tambahnya.

Solat jenazah dua beranak itu dilakukan oleh guru agama peribadi Gaddafi, Khaled Tantoush.
SEORANG wanita melihat jenazah Muammar Gaddafi di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.
Khaled ditangkap bersama dengan Gaddafi sebelum mereka berpindah dari Misrata.

Dua sepupu Gaddafi, Mansour Dhao Ibrahim dan Ahmed Ibrahim yang ditangkap bersama Gaddafi selepas konvoi dinaiki mereka diserang jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, turut menghadiri penghormatan terakhir untuknya.

Jenazah itu dikebumikan pada waktu subuh.

Gaddafi, 69, mati akibat kecederaan ditembak di bandar kelahirannya selepas dia ditemui dalam saluran pembetungan di bawah sebuah lebuh raya pada Khamis lalu.

Anaknya, Motassim turut mati ditembak dekat leher selepas ditangkap oleh para pejuang NTC.

Mayatnya itu kemudian dipamerkan kepada orang ramai di dalam sebuah bilik sejuk di sebuah pasar di Misrata.

Sebelum dikebumikan, pemerintah sementara Libya telah bertindak melarang orang ramai daripada melihat jenazah Gaddafi, anak lelakinya, Mutassim dan seorang ketua tenteranya, Abu Bakr Younis.
JENAZAH Motassim Gaddafi yang dipamerkan kepada orang ramai di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.
Keputusan itu dibuat selepas ribuan penduduk Libya melihat sendiri jenazah bekas pemimpin Libya itu.

Beberapa pengawal mengunci pintu pagar yang menempatkan bilik sejuk beku tempat jenazah Gaddafi bersama dua yang lain disimpan di Misrata.

Pintu peti sejuk beku itu yang kerap dibuka bagi membolehkan orang ramai masuk menyebabkan ketiga-tiga jenazah tersebut cepat mereput dan berbau busuk.

Pengawal-pengawal memberikan topeng bedah kepada pelawat untuk melindungi mereka daripada bau busuk. Mereka juga menyembur bahan pembasmi kuman pada jenazah tersebut.

Menurut beberapa pengawal di pintu pasar tersebut, satu konvoi empat hingga lima buah kenderaan terlibat dalam proses membawa jenazah berkenaan pada lewat malam kelmarin ke sebuah lokasi rahsia. Kerajaan sementara Libya akan menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Gaddafi.

Menurut seorang pengawal di pasar itu, dia melihat permit pengebumian tersebut yang menyatakan terdapat dua tembakan, satu di kepala dan satu lagi di dada Gaddafi. - Agensi

Monday, October 24, 2011

Satelit 'mati' diramal jatuh di China

24 Oktober 2011

GAMBAR  tidak bertarikh dikeluarkan EADS Astrum menunjukkan    satelit penyelidikan saintifik ROSAT   yang dilancarkan pada   1990.
GAMBAR tidak bertarikh dikeluarkan EADS Astrum menunjukkan satelit penyelidikan saintifik ROSAT yang dilancarkan pada 1990.

Serpihan ROSAT memasuki bumi pada kelajuan 450 kilometer sejam 
BERLIN: Sebuah satelit yang tidak lagi berfungsi dilaporkan memasuki atmosfera awal pagi semalam dan serpihannya dijangka jatuh ke bumi, lapor Pusat Aerospace Jerman.


Jurucakap agensi berkenaan, Andreas Schuetz berkata tiada sebarang bukti jelas untuk menentukan di negara atau benua mana satelit penyelidikan saintifik ROSAT itu akan jatuh.


Kebanyakan bahagian satelit bersaiz van mini itu dijangka terbakar ketika menghampiri bumi tetapi lebih 30 serpihan seberat 1.7 tan boleh terhempas apabila menuju ke bumi pada kelajuan lebih 450 kilometer sejam. 

“Saintis tidak lagi dapat berkomunikasi dengan satelit yang sudah ‘mati’ itu dan ia perlu mengembara kira-kira 20,000 kilometer dalam tempoh 30 minit terakhir sebelum memasuki atmosfera,” kata Schuetz. 

“Pakar menanti perkembangan lanjut untuk ‘pemantauan dari seluruh dunia,” katanya. 

Saintis berkata beberapa jam sebelum memasuki semula ruang atmosfera satelit terbabit dijangka tidak jatuh di Eropah, Afrika atau Australia. Sebaliknya berdasarkan laluan perkiraan awal, ia mungkin terhempas di sekitar Asia, kemungkinan China ketika memasuki semula ruang atmosfera. 

Bagaimanapun Schuetz berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada satelit terbabit sebenarnya memasuki kawasan yang dinyatakan. 

Satelit saintifik ROSAT seberat 2.4 tan itu dilancarkan pada 1990 dan tidak lagi beroperasi pada 1999 selepas digunakan untuk penyelidikan lubang hitam dan bintang neutron selain melakukan kajian sumber X-ray pertama di langit menggunakan imej teleskop. 

Rangka tunggal terbesar ROSAT yang boleh berlanggar dengan bumi adalah cermin tahan panas teleskopnya. 

Agensi berkenaan menyatakan, ketika misinya, satelit itu berada pada kedudukan orbit kira-kira 600 kilometer di atas permukaan bumi tetapi sejak tidak lagi digunakan ia kehilangan altitud, berlegar pada kelajuan hanya 330 kilometer di atas bumi pada Jun. 

Malah, ketika hari-hari terakhirnya, satelit itu masih lagi berlegar setiap 90 minit mengelilingi planet, menjadikan sukar untuk diramalkan di mana sebenarnya ia akan mendarat di bumi. 

Sebuah satelit mati NASA dilaporkan jatuh ke selatan Lautan Pasifik bulan lalu, tidak menyebabkan sebarang kemusnahan walaupun dibimbangi akan terkena penduduk di kawasan terbabit dan menyebabkan kecederaan atau kematian manusia. 

Pakar percaya bahawa kira-kira 24 kepingan serpihan besi dari satelit bersaiz bas itu akan jatuh kira-kira 800 kilometer jauh dari kawasan yang diduduki di dunia. 

Satelit penyelidikan iklim NASA memasuki atmosfera Bumi secara umumnya di Samoa Amerika, bagaimanapun, serpihannya yang jatuh, tidak mengenai air kira-kira 480 kilometer ke timur laut, Pulau Krismas. – Agensi 

Sunday, October 23, 2011

Letusan Anak Krakatau dijangka lebih kuat

Imej yang menunjukkan Anak Krakatau mengeluarkan asap mengandungi gas belerang baru-baru ini. – AGENSI


JAKARTA 22 Okt. - Kekerapan aktiviti gunung berapi Anak Krakatau semakin aktif sejak kebelakangan ini dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan ia akan meletus dengan lebih besar berbanding kejadian pada 2007.

Menurut laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa, kemungkinan itu berdasarkan kepada kekerapan gempa dan pelepasan gas belerang di gunung itu.

Namun, letusan Anak Krakatau kali ini dijangka tidak sekuat yang pernah berlaku pada tahun 1883 yang sekali gus memusnahkan gunung Krakatau.

Ketua Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Surono berkata, aktiviti Anak Krakatau sejak kebelakangan ini berlaku sangat kerap dengan catatan lima kali gempa setiap minit.

Jelasnya, aktiviti gempa di gunung berkenaan berlaku sehingga 5,000 kali dalam sehari dan ia memberi petanda kemungkinan letusan besar akan berlaku.

‘‘Apa yang menghairankan ialah kejadian gempa sehingga ribuan kali di Anak Krakatau itu merupakan fenomena baru.

‘‘Berbanding dengan gunung berapi lain dengan status amarannya di peringkat berjaga-jaga, ia sekadar mencatat puluhan hingga ratusan gempa dalam sehari,’’ katanya seperti dipetik akhbar Kompas hari ini.

Kata Surono, berikutan pelepasan gas belerang pada Anak Krakatau, ia menyebabkan gunung berapi berkenaan diliputi lapisan belerang putih kekuningan.

“Ia merupakan suatu fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Surono meminta masyarakat setempat supaya tidak cemas dengan perkembangan terbaru Anak Krakatau kerana magmanya itu bersifat cair dan kurang gas.

‘‘Ia tidak seperti sifat magma kental pada gunung berapi Krakatau yang meletus pada 1883,’’ tegasnya.

Sementara itu, pihak pemerintah Indonesia mengeluarkan amaran berjaga-jaga dan menasihatkan masyarakat menjauhi Anak Krakatau dengan menetapkan zon bahaya pada jarak 2 kilometer dari kawahnya.

Letusan Krakatau pada 1883 telah mengorbankan 36,000

orang akibat terkena abu panas serta bencana tsunami yang melanda wilayah Lampung dan Banten. - mINGGUAN

Putera Mahkota Arab Saudi meninggal dunia

PUTERA SULTAN


RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan bin Abdul Aziz Al-Saud meninggal dunia, menurut satu pengumuman istana yang disiarkan di televisyen negara berkenaan semalam.

Tempat beliau sebagai pengganti Raja Abdullah Al-Saud digantikan oleh saudara lelakinya , Putera Nayef Abdul Aziz Al Saud, 77, yang juga Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.

Putera mahkota berkenaan yang berusia sekitar 86 tahun berkhidmat sebagai ketua keselamatan negara selama hampir lima dekad.

Beliau meninggal dunia semasa berada di Amerika Syarikat (AS). Putera Sultan dipercayai dirawat di sebuah hospital di bandar raya New York sejak pertengahan Jun lalu kerana menghidap kanser kolon sejak 2004.

Kerabat diraja itu akan dikebumikan Selasa ini selepas jenazahnya tiba dari AS.

Kematiannya berlaku semasa Raja Abdullah Al Saud, 87, masih dirawat di sebuah hospital di sini, seminggu selepas beliau menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang belakang.

Keluarga Al-Saud memerintah Arab Saudi sejak penubuhan negara berkenaan pada tahun 1932 oleh Raja Abdul Aziz yang juga digelar Ibnu Saud. - AFP

Gaddafi dijulang dan dibuang

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM & SYALMIZI HAMID


KHAMIS lalu, pemimpin Libya yang digeruni selama 40 tahun oleh Barat, Muammar Gaddafi, 69, diheret keluar dari sebuah saluran pembetung di sebatang lebuh raya enam lorong di Sirte, tempat kelahiran Gaddafi. Dia ditangkap oleh sekumpulan pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

Kemudian, dalam video yang dirakam oleh seorang pejuang NTC, Gaddafi kelihatan cedera dan keliru apabila ditarik dari atas sebuah kenderaan dengan beberapa orang merentap rambutnya untuk menjatuhkan tubuhnya ke tanah.

Dalam tempoh sejam selepas diseksa, dia didapati sudah tidak bernyawa lagi.

Kisah kematiannya masih menjadi satu misteri. Bagaimanapun, keperibadian tokoh itu dianggap lebih eksentrik.

Musuh

Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirte pada tahun 1942, Gaddafi seperti kanak-kanak lain mendapat pendidikan di sekolah Islam.

Beliau mempelajari asas-asas ketenteraan apabila memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961. Kekecewaan terhadap kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mula menanam ideologi tersendiri.

Impian pegawai tentera muda itu ketika itu ialah mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan selain menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris I.

Bersemangat bersama sekumpulan pegawai tentera muda, Gaddafi berjaya merampas kuasa daripada Raja Idris yang sedang mendapat rawatan di Turki dan membentuk Republik Arab Libya pada 1 September 1969.
Inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam mendapat pujian ramai apatah lagi ia diadaptasikan melalui buku bertajuk The Green Book yang dihasilkan Gaddafi pada tahun 1975.

Cetusan ideanya dengan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh ketat selain membentuk Republik Arab Libya cukup memikat.

Malah, ia menjadi satu ideologi unik yang berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak sebelum itu.

Gaddafi juga pernah menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen Penyatuan Afrika.

DI benua Afrika, Gaddafi ibarat seorang raja.


“Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika,” beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni.

Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar ‘Raja Segala Raja’ di Afrika.

Salah satu sumbangan terbesar Gaddafi kepada negaranya ialah usahanya membina ‘sungai buatan’ bertujuan menyalurkan air bawah tanah ke seluruh negara Libya yang tandus itu. Malah bagi rakyat Libya, projek yang dikenali sebagai Great Man-Made River Project itu merupakan Keajaiban Kelapan Dunia.

Pembaharuan

Gaddafi menggunakan kepintaran dan kekayaan negara itu untuk mengairi kawasan tandus berkenaan.
Bagi mengatasi masalah mendapatkan air bersih buat seluruh warga Libya, pembinaan paip air gergasi itu dimulakan pada Ogos 1984 di Brega.

Libya tidak mempunyai kepakaran tempatan untuk membina projek besar itu. Tetapi atas kekayaan hasil minyak, Gaddafi menjemput kepakaran luar untuk membantunya termasuklah dari Korea Selatan, Turki, Jerman, Filipina dan Britain.

Pada September 1993, lengkaplah pembinaan fasa pertama projek itu yang bermula dari timur di Sarir dan Tazerbo hinggalah ke Benghazi. Tiga tahun kemudian usaha menyalurkan air dari Tripoli ke barat iaitu di Jebel Hassouna siap.

Menyingkap sejarah lalu, air bawah tanah Libya itu ditemui secara tidak sengaja ketika usaha mencari telaga minyak baharu pada tahun 1953.

Daripada analisis radio karbon, sumber air fosil itu dianggarkan berusia kira-kira 40,000 tahun.

Kini, usaha itu membuahkan hasil apabila kira-kira 1,300 kilometer persegi tanah disalurkan dengan air untuk perladangan. Sebahagian tanaman itu adalah untuk makanan di dalam negara.

Tetapi bagi ladang-ladang besar yang mendapat bekalan air itu, ia ditanam dengan gandum, oat, jagung dan barli. Semua tanaman itu perlu diimport sebelum ini.

DI sebalik sisi eksentriknya, kehadiran Gaddafi begitu dirasai pemimpin dunia lain.

Kini, paip sepanjang 5,000 kilometar (km) itu boleh menyalurkan sebanyak 6.5 juta meter padu air sehari ke lebih 1,000 kawasan padang pasir.

Bagaimanapun, kekejaman Gaddafi semasa berkuasa menyebabkan rakyat Libya menentang beliau. Sejak berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan.

Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam kemudian. Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung.

Malah, kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika.

Tetapi, apabila menerima tekanan dunia berikutan insiden pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, nada keras Kolonel Gaddafi tidak sekuat dahulu terhadap dunia Barat.

Gaddafi mula cenderung kepada sekularisme dan tidak lagi pro-Islamik.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.

TEMBAKAN di dada dan kepala menyebabkan kematian pantas Gaddafi.


Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Gaddafi.

Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.

Kemuncak kepada kemarahan rakyat ialah apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan kerana kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion)
Akhirnya, selepas memerintah Libya lebih empat dekad beliau dibunuh oleh rakyatnya sendiri.

Sumber : KOSMO

Mayat Gaddafi dipamer di pasar raya

JENAZAH bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi (depan) dan anak lelakinya, Mutassim dipamerkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di bandar Misrata, Libya semalam.

MISRATA, Libya - Jenazah Muammar Gaddafi yang masih berlumuran darah dipamerkan kepada umum di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar raya di sini.

Orang ramai semalam berbaris panjang untuk menatap jenazah bekas pemimpin Libya berusia 69 tahun itu yang diletakkan di atas sebuah tilam di bilik berkenaan.

Pada mulanya, jenazah Gaddafi disimpan di bilik itu untuk mengelakkan daripada tatapan umum. Namun, orang awam berpusu-pusu tiba untuk melihat jenazah pemimpin yang mereka benci itu sebaik sahaja rahsia lokasi tersebut terbongkar.

Malah, untuk memudahkan orang ramai melawat arwah, pengawal-pengawal di premis itu menetapkan masa lawatan berasingan untuk keluarga dan lelaki bujang.

"Kami mahu melihat anjing ini (Gaddafi)," kata beberapa penduduk setempat.

Berpuluh-puluh lelaki, wanita dan kanak-kanak turut tidak ketinggalan bergambar bersama jenazah bekas pemimpin Libya tersebut.

Jenazah Gaddafi dibiarkan terbujur dalam keadaan terdedah hingga ke paras pinggang dengan dada dan tangannya berlumuran kesan darah sebelum ditutup dengan sehelai selimut.

Kesan luka akibat tembakan turut dilihat pada dada, perut dan bahagian kiri kepala jenazah.

Turut diletakkan di dalam bilik sejuk beku tersebut ialah jenazah anak lelakinya, Mutassim Gaddafi.

Gaddafi meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dia ditangkap pejuang-pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) ketika cuba meninggalkan bandar kelahirannya, Sirte bersama pengawal-pengawalnya.

NTC yang memerintah Libya masih tidak dapat memutuskan bila dan di mana jenazah Gaddafi akan dikebumikan.

Penduduk di sini yang merupakan bandar paling teruk dibedil tentera Gaddafi dalam perang saudara sejak beberapa bulan lalu mendakwa jenazah Gaddafi adalah hak milik mereka.

Pertelingkahan itu menyebabkan rancangan untuk mengebumikan jenazah Gaddafi kelmarin terpaksa ditanguhkan.

Pemerintah tentera NTC di bandar ini juga tidak membenarkan pembedahan autopsi dilakukan keatas jenazah Gaddafi untuk mengetahui punca kematiannya.
ORANG RAMAI berbaris untuk menatap jenazah Muammar Gaddafi di sebuah pusat membeli belah di Misrata kelmarin.


"Tiada pembedahan autopsi keatas jenazahnya akan dilakukan hari ini (semalam) atau pada mana-mana hari," kata jurucakap majlis tentera Misrata, Fathi al-Bashaagha.

Sementara itu, NTC mengeluarkan kenyataan bahawa satu pentadbiran sementara akan ditubuhkan dalam masa sebulan. Rakyat Libya pula akan memilih pentadbiran baru dalam pilihan raya umum yang dijadual diadakan dalam tempoh lapan bulan lagi.

NTC akan mengisytiharkan pembebasan Libya di bandar Benghazi, timur Libya hari ini untuk membuka laluan kepada usaha-usaha mengubah negara yang kaya dengan minyak itu menjadi sebuah negara demokrasi. - Agensi

KOSMO

Sebahagian penduduk Libya mengerumuni jenazah Gaddafi di Misrata, kelmarin. – REUTERs (UTUSAN MALAYSIA)

Friday, October 21, 2011

Mayat Muamar Gaddafi diheret dan dikasari

 
 
Rakaman televisyen menunjukkan mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang berlumuran darah diheret dan dikasari pasukan tentera anti Gaddafi.

Menurut Reuters, dalam rakaman yang disiarkan stesen Al Arabiya, muka Gaddafi berlumuran darah dan tentera anti-kerajaan mengheret mayat bekas pemimpin itu di atas tanah manakala terdapat kesan luka di kepalanya.

Rangkaian televisyen Al Jazeera pula menyiarkan rakaman mayat Gaddafi yang hampir bogel sehingga paras pinggang diletakkan di atas tanah.

Anak juga terbunuh

Gaddafi, 69, terbunuh dalam serangan tentera kerajaan sementara Libya dibantu oleh tentera udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran bandar Sirte, petang semalam.
Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Mutassim, anak kelima Gaddafi.

Kematiannya menamatkan pemburuannya selama dua bulan sejak beliau melarikan diri setelah kejatuhan Tripoli ke tangan tentera pemberontak pada Ogos lalu.

Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Majid Mlegata, sebelum itu melaporkan Gaddafi berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri secara berkonvoi dalam satu serangan itu.

Berita penuh di sini

Lagi gambar 

FOTO Muammar Gaddafi dilumuri darah di Sirte, Libya semalam.- Reuters (Kosmo)




TENTERA NTC melihat terowong yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Gaddafi sebelum  dibunuh.
TENTERA NTC melihat terowong yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Gaddafi sebelum dibunuh.

Tuesday, October 11, 2011

Bangkok cemas

2011/10/11
PENDUDUK Bangkok meredah air berikutan Thailand dilanda banjir terburuk dalam sejarah negara itu. - Foto Reuters
  • 270 orang korban banjir
  • 700,000 rumah musnah
  • 1.4j hektar sawah tenggelam
  • 200 kilang tutup



BANGKOK: Banjir besar yang melanda utara Thailand kini mengancam Bangkok dengan angka kematian meningkat kepada 270 orang, 700,000 kediaman penduduk musnah dan 1.38 juta hektar sawah tenggelam sehingga semalam.

Tuesday, October 4, 2011

Rawatan gigitan ikan kecil di spa jejas kesihatan


2011/10/04
ABU DHABI: Pakar perubatan memberi amaran rawatan kaki menggunakan gigitan ikan kecil sambil merendamkan kaki di dalam air yang kian popular termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak tahun lalu boleh memberi kesan negatif ke atas kesihatan.

Rawatan yang menggunakan ikan dikenali sebagai Garra Rufa atau juga dikenali dengan nama seperti ikan doktor, ikan digunakan untuk memakan sel kulit mati kaki dan buku lali pelanggan. Ikan berkenaan biasanya ditemui dari sungai terutama di Turki, Syria, Iraq dan Iran yang tidak mempunyai gigi tetapi menggigit kulit mati pada kaki.
Sebelum digunakan untuk rawatan beratus-ratus ekor ikan akan dibiarkan tanpa makan bagi membolehkan mereka memakan sel kulit apabila diperlukan.
Rawatan itu biasanya mengambil masa 20 minit diikuti dengan rawatan kaki tradisional kerana bukan semua sel kulit mati dikeluarkan ikan itu. Rawatan ini membabitkan kos kira-kira 95 Dirham (RM82).

Bagaimanapun pakar kesihatan dan doktor meminta pengguna menjauhkan spa ikan ini kerana air tangki terbabit mungkin menjadi tempat paling subur untuk pembiakan pelbagai jenis jangkitan bakteria dan kulat.

“Prosedur ini diharamkan di UAE kerana air yang tidak bersih boleh memindahkan penyakit seperti HIV,” kata Khalifa Mohammad Al Rumaithi, pengarah kesihatan awam di Perbandaran Abu Dhabi.

Seorang pakar dermatologi, Dr P Moham Kumar dari Lifeline Hospital berkata tiada manfaat saintifik daripada prosedur terbabit. – Agensi 

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails