Sunday, May 22, 2011

Penawar khusus dalam ayat suci


Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my
“SERATUS peratus menggunakan ayat-ayat suci al-Quran. Perubatan ini tidak menggunakan sebarang perantara seperti jin, syaitan, makhluk halus atau khadam,” tegas lelaki berwajah serius di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu Gombak, Selangor itu.
Namun, dia tenang dan mesra menerangkan konsep rawatan di premis yang dipenuhi orang ramai tersebut. Dalam pemerhatian Kosmo!, orang yang datang ke tempat itu sedang sabar menunggu giliran bertemu ahli terapi di pusat itu bagi sesi rawatan dan perubatan masing-masing.
“Ramai yang bertanya berkenaan hal-hal di sebalik cara rawatan. Sesungguhnya saya memang tidak berminat atau berhajat untuk berdamping dengan ‘benda-benda’ halus. Banyak masalah kalau berdamping dengan benda-benda yang ghaib ini,” tegas Perunding Kesihatan dan Terapis yang juga Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid.
Menurutnya, dalam Islam, komponen yang paling penting untuk berubat cara Islam adalah dengan memanfaatkan ayat suci al-Quran yang disertai dengan doa.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Haji Lokman, 52, berkata rangkaian ayat al-Quran yang berbeza-beza boleh digunakan bagi mengubati jenis-jenis penyakit tertentu.
Sudah berpengalaman lebih 12 tahun dalam bidang rawatan Islam, Lokman mengakui tidak pernah berguru dan tidak ada orang yang mengajarnya. Katanya, ilmu perubatan itu dianugerahkan oleh Allah SWT kepada dirinya.
Di pusat rawatan itu, kehadiran ratusan pesakit dalam sehari adalah perkara biasa. Tanpa membuat temu janji lebih awal, mungkin seseorang pesakit perlu menunggu lama.
Lokman berkongsi cerita, ketika dia berusia 40 tahun, dirinya terdetik untuk mencari sesuatu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Pada ketika itu, dia banyak melakukan ibadah-ibadah sunat seperti puasa sunat, solat tahajud, solat taubat, membaca al-Quran setiap hari dan sentiasa berzikir.
“Paling jelas, setiap kali saya balik dari menunaikan ibadah haji atau umrah, ada merasakan peningkatan di dalam diri saya dari segi keimanan dan ilmu perubatan ini,” ujarnya jujur.
JUMLAH pesakit yang berkunjung ke Al-Hidayah terlalu ramai pada hujung minggu hinggakan ada yang terpaksa pulang.
Jenis penyakit
Menurut Lokman, di Al-Hidayah, para pesakit yang datang berjumpanya terdiri daripada 40 peratus pesakit kanser, 30 peratus sakit jantung, darah tinggi, urat saraf, sakit tulang belakang hepatitis dan 30 peratus yang mengalami gangguan sihir, santau rasuk, susuk serta saka.
Berdasarkan pengalaman bapa kepada lima orang anak itu, sesetengah pesakit yang datang tidak mengetahui penyakit yang dihidapi walaupun sudah menjalani rawatan di hospital. Hal itu memerlukannya mengenal pasti simptom penyakit menggunakan ilmu yang dianugerahkan Allah kepadanya.
“Kalau di hospital, doktor akan kenal pasti dengan menggunakan mesin dan peralatan canggih yang lain. Saya tidak menafikan kebolehan alat itu. Tetapi kadangkala, ada sesetengah penyakit yang tidak boleh dikenal pasti menggunakan mesin,” ujarnya yang memberi contoh sakit gangguan seperti sihir, iblis, jin atau lain-lain.
Bagi sakit fizikal pula, pesakit akan diperiksa dengan prosedur khas. Sekiranya pesakit itu menghidap barah, Lokman akan menerangkan kepada pesakit itu mengenai organ yang terjejas atau dijangkiti virus.
Sekali lagi menafikan penggunaan sebarang mantera, jampi serapah, tangkal mahupun buah limau seperti yang digunakan oleh bomoh atau dukun tertentu, anugerah yang dimilikinya itu adalah untuk membantu masalah kesihatan saudara seIslam yang meminta pertolongannya.
“Pernah juga pesakit bukan Islam datang berjumpa saya. Bukan tidak boleh, tetapi rawatan menjadi lebih mudah bagi pesakit Islam kerana mereka sendiri perlu membaca ayat al-Quran, memahami maksudnya, berdoa dan yakin kepada Allah.
“Mereka juga dinasihatkan untuk berwuduk, menutup aurat (bertelekung bagi pesakit wanita) dan ditemani ahli keluarga atau rakan.
Tambahnya, jika pesakit Islam itu tidak lancar membaca al-Quran, mereka boleh mengikut bacaan ibu, bapa, suami atau isteri dan juga melalui bantuan audio bacaan al-Quran.
Begitupun, para pesakit yang diberikan surah-surah untuk dibaca perlu membacanya dalam bahasa Arab. Jika membaca terjemahan ayat tersebut, ia tidak akan memberi kesan. Itulah kehebatan ayat al-Quran.
Lulusan University of New Haven, Connecticut dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) itu juga merendah diri dengan mengakui dirinya sekadar manusia biasa yang tidak mempunyai latar pendidikan dalam aliran keagamaan.
Lokman yang telah meninggalkan kerjaya selama 15 tahun di Suruhanjaya Sekuriti itu memberitahu, keikhlasan membantu orang yang memerlukan adalah sangat penting. Sama seperti orang lain, dia juga mencari rahmat dan keberkatan daripada Allah.
“Biarlah amalan itu kecil dan sedikit. Paling mustahak adalah ia perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya sesekali atau mengikut mood,” katanya yang sebelum ini hanya merawat pesakit pada waktu malam hingga menyebabkan dia perlu berjaga sehingga pukul 4 atau 5 pagi.
RUANG rawatan yang bersih, tersusun dan terbuka di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.
Transformasi diri
Dalam pada itu, tugas Lokman di pusat rawatan itu turut dibantu pelakon Mohd. Ashraf Muslim, 30, dan Zulhaidi Ahmad, 38, yang telah dilatih menjadi perunding kesihatan dan juga pakar terapi.
Mengimbas kembali transformasi diri daripada seorang pelakon kepada pengamal perubatan Islam, Ashraf mengakui proses itu bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia satu penghijrahan diri, semua orang kena lalui. Proses perubahan itu menjadikan saya lebih kuat dan lebih arif memikirkan antara perkara salah dan betul. Walaupun sebelum ini saya ada duit, kerja, kereta, rumah dan kawan-kawan tetapi hati saya terasa kosong.
“Sampailah saya berjumpa Lokman ketika menemani adik saya berubat di tempat ini. Dia yang menasihatkan saya mendekatkan diri dengan Tuhan dengan sembahyang sunat taubat, sunat hajat dan pergi menunaikan umrah.
Menurut Ashraf, sekembalinya dari menunaikan umrah, dia berasa gembira dan tenang. Sejak itu dia mula dilatih untuk menjadi ahli terapi di Al-Hidayah.
Sementara itu, Zulhaidi pula sebelum ini, dia pernah membawa ayahnya, Ahmad Omar, 62, untuk berubat secara Islam selepas rawatan di hospital tidak lagi memberikan khabar gembira.
“Sejak 20 tahun lalu, ayah saya menghidap penyakit kencing manis. Kemudian selepas menjalani diagnosis susulan, buah pinggangnya pula didapati rosak. Jadi ayah perlu melakukan dialisis, tetapi doktor memberitahu proses itu boleh menjadikan jantungnya lemah. Jika diabaikan pula, buah pinggang akan bertambah rosak,” ujarnya.
Bimbang berlaku rantaian komplikasi seterusnya, Zulhaidi membawa ayahnya bertemu Lokman.
“Selepas berjumpa dan mendapat rawatan menggunakan surah-surah khusus, keadaan ayah saya bertambah baik. Doktor di Institut Jantung Negara (IJN) juga terkejut apabila mendapati hasil ujian pemeriksaan kesihatan ayah menunjukkan dia semakin pulih,” katanya yang nekad berhenti kerja sebagai Pengurus Senior bahagian teknologi maklumat (ICT) di sebuah syarikat swasta untuk berkhidmat di klinik Lokman.
Lulusan Teknologi Maklumat dari Universiti of Rhode Island, Amerika Syarikat itu kemudiannya mendalami ilmu agama dan berkhidmat bersama Lokman demi membantu merawat saudara Islam yang lain.
“Asalnya saya pun tidak lancar membaca Al-Quran dan tidak mempunyai kefahaman yang tinggi mengenai kandungannya, tetapi Alhamdullillah selepas belajar dengan ayah saya dan Lokman, saya kini boleh membantu orang lain,” katanya yang mengakui kehidupannya kini lebih tenteram.
Tempat terbuka
AYAT-AYAT al-Quran mempunyai ‘khasiat’ istimewa dalam penyembuhan penyakit.
Dalam pada itu, menurut pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah, cara perubatan Islam yang sebenar seharusnya menggunakan ayat al-Quran sepenuhnya serta bahan-bahan yang tidak syirik seperti akar kayu dan buah-buahan daripada kayu seperti habatus sawda.
Tambah beliau, penggunaan bunga dan limau nipis juga tidak salah sekiranya ia diperlukan untuk sesetengah jenis penyakit.
Walau bagaimanapun beliau berkata, penggunaan bahan tersebut hanya sebagai sampingan kerana ayat al-Quran yang telah diturunkan Allah SWT dalam kitab suci adalah penawar terbaik.
Selain itu, rawatan yang dilakukan itu mestilah di tempat terbuka dan di hadapan orang ramai untuk mengelakkan timbulnya fitnah atau syak wasangka.
Mohd. Daud turut menerangkan bahawa ahli terapi cara Islam juga dibolehkan memegang pesakit bagi sesetengah penyakit yang memerlukan sentuhan seperti untuk mengenal pasti penyakit atau dirasuk jin. Dalam kes seperti itu, ahli terapi perlu memegang pesakit untuk menarik jin itu keluar tetapi dengan izin muhrim bagi pesakit perempuan.
Terang Mohd. Daud, firman Allah dalam surah al-Isra ayat 84 hingga 88 memberi maksud bahawa al-Quran bukanlah sekadar petunjuk dalam merencanakan kehidupan yang diredai malah turut menjadi penyembuh pelbagai penyakit manusia.

Sunday, May 8, 2011

Masjid bak sangkar burung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TINGKAT atas masjid dijadikan dewan solat yang boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa.
BEGITU istimewa dan nostalgik. Itulah yang terpacul daripada bibir penduduk Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar setiap kali memperkatakan Masjid Ihsaniah Iskandariah. 
Frasa tersebut berkait dengan pelbagai faktor. Antaranya keunikan seni bina, sejarah, kenangan dan hubungan istimewa masjid itu dengan Istana Perak.
Abd. Moin Lamat, 67, yang dilahirkan selepas lapan tahun masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Lama Kuala Dal itu siap dibina memberikan perinciannya.
“Jika mahu lihat seni bina Melayu Perak, lihatlah masjid ini. Apatah lagi ia satu-satunya masjid di dunia yang mempunyai dinding tepas iaitu diperbuat daripada anyaman buluh.
“Ia bertambah unik kerana bangunannya berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah seperti masjid lain,” ujarnya kepada Jurnal.
Ketua Kampung Dal itu menambah, reka bentuk masjid dua tingkat itu juga menyerupai sangkar burung sementara tingkapnya dihiasi ukiran.
Bumbungnya kelihatan rata manakala dinding tepas masjid itu diperbuat daripada buluh minyak dengan motif geometri Arab.
Selain itu, masjid berkenaan mempunyai 20 tingkap berdaun yang bermotifkan pucuk kacang, bulan sabit dan bintang manakala bumbung zinknya berbentuk limas.
“Semua struktur bangunan termasuk kelarai dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah,” jelasnya.
Dahan durian
Banyak kenangan dan sejarah disimpan Masjid Lama Kuala Dal yang kini meniti usia 75 tahun.
Dipendekkan cerita, ia merangkumi tiga fasa iaitu dari tahun 1930-an sehingga 1976, zaman kesuraman dari lewat 1970-an hingga 2009 dan kini zaman kebangkitan semula.
REKA bentuk binaan masjid dua tingkat ini juga menyerupai sangkar burung dan tingkapnya dihiasi ukiran.
Abd. Moin memberitahu, pada zaman kegemilangannya, masjid itu pernah menjadi nadi kerukunan dan simbol agama penduduk Kampung Kuala Dal.
Tingkat atas masjid itu menempatkan dewan solat yang boleh memuatkan 200 orang jemaah pada satu-satu masa. Tingkat bawah pula dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.
“Namun, kegemilangan Masjid Lama Kuala Dal pudar apabila sebahagian strukturnya rosak teruk akibat dihempap dahan durian sekitar tahun 1976.
“Kejadian itu menyebabkan masjid itu ditinggalkan dan diganti dengan sebuah masjid baru yang lebih besar yang dibina bersebelahannya,” kata Abd. Moin.
Masjid baru itu didirikan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Pengerusi Masjid Lama Kuala Dal pada masa itu, Abdul Wahid Abdul Daud.
Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad terbiar uzur dan hampir menyembah bumi, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja konservasi untuk membaiki kerosakan struktur bangunan tersebut.
Masjid itu kemudian digazet sebagai bangunan warisan negara. Kerja-kerja konservasi siap sepenuhnya pada Julai 2009 sebelum diserahkan semula kepada Kariah Masjid Al-Wahidiah oleh Pesuruhjaya Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid dalam satu majlis khas pada 17 Disember tahun yang sama.
Kemuncak kebangkitan semula masjid itu ialah Jumaat lalu apabila ia dirasmikan kembali oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Warisan
“Perasmian semula Masjid Lama Kuala Dal oleh Tuanku begitu signifikan.
“Masjid itu sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan kerabat diraja Perak,” ujarnya.
Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah bukan sahaja menitahkan pembinaan masjid tersebut malah turut memberi ilham kepada reka bentuknya.
Bagindalah juga yang membiayai kos menyiapkan masjid itu sebanyak 8,000 pound sterling. Binaan masjid itu diinspirasikan daripada seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Sultan Iskandar juga merasmikan masjid yang mengabadikan nama baginda pada 11 Februari 1938, kira-kira lapan bulan sebelum kemangkatan baginda.
Tandas masjid turut bertemakan buluh tepas
Mengikut sejarahnya, Sultan Iskandar telah bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering.
Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda melihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang daripada berkelah di Lata Bubu yang terletak tidak jauh dari situ.
Masjid itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Wahidiah, Mohamad Anuar Abu Bakar, 61, berkata, sejak diserahkan oleh Jabatan Warisan Negara dua tahun lalu, pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan telah dijalankan di Masjid Lama Kuala Dal.
Antaranya, bacaan tahlil dan Yasin, pertandingan nasyid, ceramah agama dan mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan.
“Di samping itu, ahli jawatankuasa masjid dengan kerjasama naib kadi daerah bercadang untuk memperkenalkan pakej pernikahan di situ dalam masa terdekat.
“Idea itu timbul berikutan permintaan daripada ramai bakal pengantin terutamanya dari kariah ini untuk mengabadikan masa bahagia mereka di persekitaran masjid yang unik itu,” jelas beliau.

Mohamad Anuar menjelaskan, pakej tersebut turut meliputi penyediaan makanan untuk maksimum 100 tetamu.
Tambahnya, kesedaran orang ramai termasuk pelancong asing tentang kewujudan masjid warisan itu semakin bertambah selepas lawatan mengejut Sultan Azlan Shah ke masjid itu pada 1 Mac tahun lalu.
Sejak itu, semakin ramai pelancong yang singgah ke situ untuk mengambil gambar kenangan.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails