DEPRESI atau stres juga boleh menyebabkan individu menjadi malas. ANDA seorang pemalas? Atau anda seorang bos yang  kecewa dengan sikap pekerja-pekerja anda yang malas dan lembap dalam  melaksanakan tindakan?
  
Jangan marah-marah.  Mungkin anda perlu melihat malas dalam horizon yang lebih luas. Selain  melihat malas lebih kepada masalah psikologi atau sikap individu, malas  juga boleh dilihat dari sudut kesihatan.
  
Seseorang itu mungkin malas kerana mempunyai penyakit yang bersimptom kemalasan atau melibatkan hormon.
  
Menurut  pakar kesihatan pekerjaan, Hospital Pakar An-Nur, Dr. Azrul Rozaiman  Datuk Abdullah, malas bukan sekadar keengganan untuk melakukan sesuatu  aktiviti tetapi ia adalah koleksi sifat-sifat buruk merangkumi sikap  gemar bertangguh, tidak menepati waktu, tidak pandai mengurus masa dan  lemah untuk mengenal pasti apa yang perlu diutamakan.
  
Dalam  konteks kesihatan pekerjaan, Azrul yang mempunyai kepakaran dalam  bidang penyakit pekerja atau risiko penyakit yang boleh didapati pekerja  daripada penggunaan bahan kimia serta psikologi, menyifatkan malas  diistilahkan sebagai kurang produktiviti.
  
SESEORANG  itu mungkin malas kerana kurang pengetahuan tentang apa yang sepatutnya  dilakukan. Tapi, ujarnya, malas juga bersifat subjektif kerana ia  bergantung kepada perspektif individu.
  
Misalnya,  jika seorang itu boleh menghasilkan 10 bahan dalam seminggu sedangkan  rakannya boleh menghasilkan 100 bahan dalam tempoh yang sama, dia  mungkin dianggap malas. T
  
etapi dia mungkin  tidak dianggap malas oleh bosnya sekiranya bosnya sendiri hanya mampu  menghasilkan lima kerja dalam seminggu. Begitulah penjelasan Azrul  bagaimana kayu ukur malas boleh berubah.
  
Jelasnya,  daripada konteks kesihatan, malas boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu  malas yang merupakan simptom kepada sesuatu penyakit atau malas kerana  kesan sampingan ubat-ubatan.Azrul memberitahu, memang terdapat beberapa  penyakit yang boleh menjurus kepada sifat malas seperti penyakit  hipotiroid yang disebabkan oleh kekurangan hormon tiroid.
  
“Apabila  hormon tiroid kurang dalam diri seseorang individu, maka ia biasanya  akan memperlihatkan simptom malas seperti mentalnya lambat memproses  maklumat, lesu, pergerakan turut menjadi lambat dan aktiviti metabolisme  badan menjadi perlahan,” ujarnya.Hormon tiroid dikeluarkan oleh  kelenjar tiroid yang terletak di bahagian leher dan menjaga beberapa  fungsi utama badan.
  
Hormon tiroid berkurangan  boleh jadi disebabkan oleh kekurangan pengambilan makanan beriodin  seperti ikan.Beban kerjaJelas Azrul, penyakit ini hanya boleh dikenal  pasti doktor dengan membuat ujian darah.
  
Rawatannya ialah dengan memberi ubat yang boleh meningkatkan kembali paras hormon tiroid dalam diri.
  
Selain  daripada itu, kesan sampingan daripada pengambilan ubat juga boleh  membawa kepada rasa malas.Menurut Azrul, kurang daripada lima peratus  pengambil sejenis ubat darah tinggi atau hipertensi boleh mengalami  kesan sampingan seperti kelembapan mental dan fizikal.
  
Depresi atau stres juga boleh mendorong kepada rasa malas.
  
Berkenaan  stres atau depresi jika disebabkan beban kerja yang terlalu banyak  melepasi batasan kemampuan diri, Azrul menyarankan supaya wujudnya  interaksi antara bos dan pekerja. “Dalam hal ini, pekerja itu dilihat  seperti malas tapi sebenarnya bukan malas.“
  
Dia  mungkin tertekan ekoran beban kerja yang melampaui kemampuan dirinya  atau beban kerja yang tidak seimbang antara pekerja-pekerja.
  
Interaksi  antara bos dan pekerja mungkin boleh memperbaiki keadaan,” ujarnya.Dari  sudut psikologi, malas boleh jadi disebabkan oleh cara individu  dibesarkan, pengaruh sekeliling dan kekurangan pengetahuan.
  
Amalan  bertangguh-tangguh atau melengah-lengahkan kerja juga menjadi penyakit  masyarakat moden kerana tekanan hambatan masa.Menurut sebuah majalah  kesihatan, kajian terbaru mendapati 20 hingga 25 peratus daripada  manusia hari ini adalah seorang yang gemar bertangguh berbanding hanya  lima peratus pada tahun 1978.“Seorang itu menjadi pemalas mungkin juga  kerana cara dia dibesarkan yang mana semua yang dikehendaki tersedia  untuknya.
  
INTERAKSI yang wujud antara bos dan para pekerja mampu mendorong kepada peningkatan produktiviti.
  
“Seseorang itu juga mungkin menjadi malas kerana ia dipengaruhi oleh orang sekelilingnya yang suka bermalas-malasan.
  
“Persekitaran  turut mempengaruhi seseorang itu menjadi malas,” ujarnya sambil  menjelaskan terdapat dua kategori malas, iaitu malas pada perkara  tertentu dan malas pada melakukan banyak perkara.
  
“Ada  sesetengah orang itu kita lihat dia rajin di rumah tapi di pejabat dia  malas dan begitu juga sebaliknya. Mengapa ini berlaku?
  
“Ia mungkin kerana minat terhadap aktiviti berkenaan kurang kerana kekurangan pendedahan atau pengetahuan,” katanya.
  
Justeru, untuk mengatasi masalah malas ialah dengan mendapatkan pengetahuan secukupnya terhadap apa yang perlu dibuat.
  
“Para  bos misalnya perlu peka dengan kondisi pekerja. Mungkin mereka malas  dan tidak produktif kerana mereka tidak tahu atau jelas tentang kerja  yang perlu dilakukan,” katanya.
  
Memberikan  motivasi juga merupakan salah satu cara untuk menyingkirkan sifat malas.  Sebab itulah pengkaji-pengkaji dari Australia pernah menyifatkan malas  yang ekstrem sebagai motivational deficiency disorder.
  
“Motivasi  boleh datang daripada dalam diri individu itu sendiri dan boleh  diperoleh daripada dorongan motivasi orang lain. Motivasi bagi diri  sendiri boleh diperoleh dengan menetapkan matlamat yang khusus,”  ujarnya.
  
Selain daripada itu, bagi keadaan  tertentu dan tujuan yang baik, Azrul berkata, untuk menambah minat  seseorang melakukan perkara itu boleh juga menerusi paksaan.
  
“Adakalanya  penyakit malas perlu diubati dengan paksaan. Bukankah dalam hidup kita  ada perkara yang kita pada awalnya tidak berminat tetapi berubah minat  apabila didorong atau dipaksa untuk melakukannya?
  
“Seperti  juga yang diajarkan dalam agama tentang hal solat. Islam mendidik  umatnya agar menyuruh anak sembahyang pada umur tujuh tahun.
  
“Jika  umur 10 tahun, mereka tidak sembahyang, mereka perlu dipukul. Apabila  mereka sudah biasa melakukannya, ia boleh mendatangkan minat dan mereka  membesar menjadi seorang yang tidak malas untuk menunaikan solat,”  katanya.
  
Oleh ADHAM SHADAN : Kosmo!